10 Perkara Yang Aku Perhatikan Tentang Peniaga Melayu.



Orang kita memang suka berniaga. Asalkan boleh dapat wang ringgit, memang gembira. Jadi di sini aku ingin membincangkan bersama pemerhatian yang aku buat tentang peniaga-peniaga Melayu. ‘Peniaga Melayu’ di sini merujuk kepada perniagaan yang lebih konvensyenal dan umum, bukan pengusaha blogshop misalnya..

1. Suka Meletakkan ‘De’ atau ‘D’(nama perniagaan)’ Sebagai Nama Perniagaan.
Contohnya Restoran De Kayu, D’Tomyam, Kedai Baju De Murni, Klinik De Mam, Pinjaman Wang De Posit. Paling terkenal mungkin restoran yang dikendalikan FELDA, D’Saji, yang memang terkenal dengan pakej jamuan perkahwinan mereka. Aku tidak faham rasional penamaan sebegini, mungkin untuk kedengaran lebih ‘Perancis’, walhal sebenarnya lebih kepada lebih ‘kampung’. Aku rasa pasaran bidikan mereka mungkin teruja dengan penamaan begini. Pendek kata asal ada unsur Mat Salleh sedikit, boleh jalan.

2. Kejayaan = Kualiti Merundum.
Ini biasa aku lihat, terutamanya dikalangan pengusaha restoran. Bila sudah popular sedikit dan mula berkembang ke premis yang lebih besar misalnya, makanan kegemaran kamu yang kamu selalu pesan apabila bertandang ke restoran tersebut tiba-tiba menjadi kurang enak. Layanan istimewa yang dahulunya diberikan kepada kamu seolah-olah sudah dilupakan. Harga makanan semakin naik, restoran menjadi semakin cerah (akibat jumlah lampu kalimantang yang meningkat) tetapi kualiti dan mutu semakin merundum. Apa cer?

3. Suka Dengki Mendengki.
Apabila perniagaan mendapat kurang sambutan (apabila kualiti makanan merundum, jahitan senget, alat kelamin semakin longgar), mulalah menuduh ada pihak-pihak tertentu yang berhasad dengki, walaupun sebenarnya diri sendiri yang salah. Puuuh kiri, puuuuh kanan, wang ringgit dibazirkan membeli artifak aneh yang kononnya boleh menjadi pendinding. Apabila dapat tahu yang si polan ini yang kononnya mencemburui perniagaannya, mulalah ‘menghantar’ itu dan ini, dan aku tidak maksudkan hadiah-hadiah atau hamper makanan. Apabila peniagaan kurang laku, mulalah cari bomoh Siam yang boleh membekalkan ‘pelaris’ agar perniagaan lebih maju. Jangan hairan kalau jumpa tampon terpakai di dalam kari ayam kamu.

4. Boros/Berlagak Bila Perasan Berjaya.
Apabila mula dapat wang sedikit, mulalah bazir duit. Baru dapat balik kos modal, sudah bertandang ke kedai kereta mencari kereta BMW 5 Series terpakai. Mula pergi bertandang ke blog-blog selebriti tanah air yang penuh dengan gambar artis ‘terlampau’ yang bersosial untuk dijadikan bakal isteri, insyaallah. Memang tanggungjawab kamu yang mampu untuk membimbing artis-artis yang sesat ini, bukan? Memang mudah pun untuk berkawan dengan artis-artis gred B ini, bela misai tebal, bawak kereta separa mewah dan lepak di sekitar kawasan Ampang atau The Curve.

5. Kurang Pandai Berkembang Lebih Maju.
Untuk perniagaan yang ada potensi pula, selalunya tersekat di tahap yang sama. Tidak pandai menggunakan kemudahan yang ada (seperti pinjaman SME, forum serta kaunseling perniagaan) untuk terus maju ke hadapan. Pada mereka jalan yang senang (sehingga boleh mencapai wang berjuta-juta) semuanya terletak di laman-laman web yang menjual maklumat untuk skim-skim Ponzi. Atau main kutu.

6. Tidak Pernah Bersedia.
“Adik, ada duit kecik tak?” Ayat yang memang sebati dengan peniaga Melayu. Kalau aku hendak guna duit kecil aku akan guna vending machine.

7. Melayu Kena Tolong Sama Melayu.
Walaupun motto ini sebenarnya tidak salah, tetapi motto ini mungkin sedikit sebanyak menghadkan kemampuan sebenar mana-mana peniaga. Akibatnya muncullah kronisme. Walaupun ada banyak calon lebih baik dan mampu di luar sana, akibat kronisme, kerja serta kontrak diberikan kepada anak buah atau keluarga terdekat sendiri, walaupun memang sah si ahli keluarga itu kaki joli yang boleh menghabiskan wang RM1 juta dalam 10 hari. (Lihat No. 4) Kalau aku berniaga, aku tidak kisah. Keuntungan dahulu, keluarga kemudian. Kalau aku sudah untung, keluarga aku pun akan untung. Buat apa beri peluang kepada keluarga sendiri yang hanya akan merugikan usaha titik peluh kamu, bukan? Selidik dan kaji dahulu!

8. Suka Taktik Hutang Budi.
Dalam banyak-banyak jenis orang, orang apa yang paling diminati? Orang dalam. Orang dalam yang boleh memudahkan segalanya, dari proses ambil lesen, bayar saman, menang tender, isikan borang dan sebagainya. Aku rasa ini berkaitan dengan senaraian No. 7 di atas, tolong menolong akan sedikit sebanyak membuatkan yang ditolong rasa terhutang budi. Dan orang Melayu memang suka berhutang, dari hutang budi hinggalah ke hutang Courts Mammoth. Lihat sahaja kemelut kerajaan Negeri Selangor, ramai yang ‘nama naik’ akibat hutang budi. Memang senang hendak berjaya dalam perniagaan apabila kamu paksa orang lain untuk berhutang budi dengan kamu. Kalau mereka tidak mahu bayar hutang, sila ungkitkan waktu-waktu kamu ‘cover’ si pemiutang tersebut. Mudah.

9. Perosak Pasaran Iklan.
Impian utama semestinya membuat iklan barangan di televisyen. Lagi-lagu peniaga-peniaga yang mengusahakan kosmetik yang menggunakan nama sendiri sebagai nama produk dan muka sendiri sebagai model layandiri. Muka kapal pecah pun tidak kisah, kita ada Photoshop, bukan? Yang ada belanjawan akan terlebih belanja membuat iklan-iklan gambar soft-focus berambut besar yang penuh dengan muka sendiri terlebih mekap, yang kurang wang akan buat iklan statik yang pastinya akan ada muka sendiri juga. Kalau tidak percaya tonton tv sejurus sebelum waktu berbuka puasa. Ada banyak. Kalau dulu kita ada ikan Kaka, Ding Dang lakonan Mat Sentul yang diterbitkan pengusaha makanan ringan tidak berkualiti, sekarang kita ada pengusaha produk kecantikan.

10. Suka Name Drop.
Aku kurang pasti istilah name drop dalam Bahasa Malaysia, mungkin kita boleh istilahkan sebagai penyalahgunaan nama orang lain. Lagi-lagi yang ada gelaran Datuk dan Tan Sri. Ini tidak termasuk menggunakan gambar ketika bersalam dengan PM apabila terserempak di Pasar Besar Selayang lagi. Baru sekali bersalam dan bergambar sudah rakan sehidup semati kononnya. Tidak boleh maju dengan nama sendiri ke? (Eh boleh, lihat No. 9) Kononya ini kenal ‘orang dalam’ lah. Senang berniaga..


0 Luahan hati:

 
© Grunge Theme Copyright by idopku mylife | Template by Blogger Templates | Blog Trick at Blog-HowToTricks